Pengikut

Sabtu, 16 Februari 2013

Jangan Jadi FITNAH Pada Parti Kalian.~

Bismillahirrahmanirrahim..~

Alhamdulillah,syukur dipanjatkan buat Pencipta ku..kerana adaNya,ana masih berada di alam ini..Allahuakbar..Muhasabah diri kita ya sahabat-sahabat..selama kita hidup ini tak kira 3tahun,10tahun,25tahun hatta 100tahun sekalipun,adakah bekalan amal kita cukup untuk menampung kita di Sana(hari pembalasan) kelak??..Muhasabah diri kita kembali..Kita insan,sentiasa bersifat baharu..Maka,jangan berputus asa untuk bertaubat.~..

Entri kali ini ana copy paste dari seorang sahabat fb ana..(lihat di bawah linknya)..
http://www.facebook.com/haslinda.alias.9?fref=ts

ana rasa,mungkin dia kakak kepada ana..^_^..ana minta izin darinya untuk kongsikan pengalamannya di laman blog ana agar sahabat-sahabat dan para reader ana mengambil pengajaran dan sekaligus kita sama-sama belajar untuk diri kita..In Shaallah..:)..

Ana tertarik untuk membaca notanya di fb.selama ini ana mencari,merenung,mengenang(semua bercampur aduk,huhuh) adakah ana salah dalam menilai..alhamdulillah..ana dapat jawapannya..Allah bantu ana..ana pegang kata-kata ayah ana bila ana soalkan hal ini.ayah ana kata,kita manusia,ada kesilapannya.Allah tidak menyuruh kita menghukum,tapi Allah berikan peluang untuk kita perbetulkan balik.ambil yang baik,yang jahat,kita cegah..:)..~

Dah terlebih membebel pulak,ok lah..ini perkongsiannya..moga2 tiada lagi sengketa dan berpuak-puak antara kita..:)

Haslinda Alias Write:






Saya ada hampir 3000 friends di dalam Facebook. Prinsip saya, saya approve semua orang yang menerima saya. Jadi, sekarang ada sekitar 2900 perangai dalam Facebook saya. Menarik untuk saya buat kajian, menarik untuk saya menambah pengalaman.

Kadangkala, mengikuti perbincangan-perbincangan mereka secara senyap, menambah ilmu saya. Kadangkala mengikuti perbalahan-perbalahan mereka secara senyap, menambah rasional saya.

Namun, baru-baru ini saya agak kecewa.

Ada dua puak bersengketa. Puak-puak ini mewakili parti-parti mereka. Satu puak mencarut-carut hingga keluar perkataan Babi dan 1001 kalimah mencarut lain yang tidak enak didengar, dan terkeluar pula dari adab Islam. Satu puak lagi pula mengutuk dan mencaci maki agama, sehingga sampai satu tahap, saya membaca mereka mengejek kalimah takbir menjadi take beer. Saya terus mengekori mereka ini, mengkaji latar belakang mereka dan tidak sangka mereka ada blog masing-masing pula. Dan blog mereka, masyaAllah, ada gambar tidak bermoral, dan ada pula sehingga tahap lucah yang dibuat dengan adobe photoshop untuk pemimpin-pemimpin parti lawan. Tulisan di dalamnya, usah diceritakan bagaimana peritnya saya meniti tiap kalimah yang ditulis untuk menghentam parti lawan.

Wahai ummah, apa kamu telah lakukan ini?


Apa yang telah kamu lakukan?

Kamu membawa fitnah kepada parti kamu
Yang mencarut-carut, kutuk mengutuk, buat gambar-gambar pemimpin parti lain dalam keadaan lucah dan tidak bermoral, ketahuilah bahawa perbuatan kamu membawa kerosakan pada imej parti kamu di mata manusia seperti saya yang memerhati. Kamu menjadi titik nila yang merosakkan susu. Menjadi bintik hitam pada kertas putih. Menjadi fitnah kepada perjuangan parti kamu. Tidak kira dari parti mana kamu berasal.

Kalau kamu benar, maka kamu pasti ada adab dalam bermujadalah. Allah SWT berfirman:
“Serulah ke jalan tuhanMu dengan berhikmah, dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik” Ayat 125 Surah An-Nahl.

Akan ada kalangan kamu yang akan berkata kepada saya: “Kadang-kadang, mereka ni tegur baik-baik tak makan saman”

Saya tidak kata ayat Allah SWT seperti hikmah, baik, cara yang baik itu, adalah dengan cakap lembut-lembut lemah gemalai ala-ala pengecut. Tetapi tahukah kita apakah takrif baik dan buruk di dalam Islam?

Kaedah menilai baik dan buruk di dalam Islam adalah:
“Baik itu adalah apa yang dikatakan baik oleh syara’, buruk itu adalah apa yang dikatakan buruk oleh syara’”
Itu kaedahnya. Hendak berkeras, hendak bertegas, boleh selagi ia tertakhluk di dalam lunas-lunas Islam.

Maka saya ingin menyoal di sini: Apakah mencarut-carut itu di berada di bawah lunas-lunas Islam? Apakah dengan mereka-reka gambar tidak bermoral dan lucah pemimpin parti lawan itu dari dalam adab-adab Islam? Apakah sehingga mengutuk kalimah suci laungan Rasulullah dan para sahabat seperti takbir menjadi take beer itu termaktub di dalam Islam?

Tidakkah kamu melihat, bergaduhan seperti yang kamu lakukan itu, menjatuhkan martabat kamu dan menjadi fitnah pula kepada perjuangan parti kamu? Tidakkah secara tidak langsung, kamu semua telah merosakkan parti-parti kamu sendiri?

Khas untuk yang menukar kalimah takbir kepada take beer
Saya tidak pasti kalian belajar dari mana sehingga kalian rasa boleh untuk mempersendakan kalimah takbir sehingga menukarkannya kepada benda haram seperti beer. Saya cuba memahami latar belakang kalian dengan bertenang dan menganggap kalian dalam keadaan tidak mengetahui apabila melakukan perkara ini.

Saya hendak menjelaskan di sini bahawa, kalimah takbir itu adalah kalimah mulia di dalam Islam. Bila dilaung takbir, orang akan pantas menyahut: “Allahuakbar” yakni bermaksud Allah Maha Besar. Inilah dia lafaz kemuliaan. Dilaungkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat semasa peperangan, semasa kegembiraan.

Maka sekiranya kalian mempersenda-sendakan kalimah itu, tidakkah kalian melihat bahawa kalian ini sedang mempersendakan siapa? Kalian hakikatnya sedang mempersendakan Allah, Tuhan saya, Tuhan orang Islam, Tuhan kepada seluruh alam ini. Dan jika kalian beragama Islam, anda telah mempersendakan pula Tuhan anda sendiri.

Saya tidak nampak, bahawa alasan: “Saya nak kutuk parti lain” boleh menjadi lesen sehingga mencipta kutukan sebegini kurang ajar untuk Allah SWT. Kenapa memasukkan Allah dalam pergaduhan politik kalian? Adakah kalian ingat, takbir itu hak satu-satu parti?

Ketahuilah, takbir itu hak seluruh ummah Islam.

Saya ingin tanya kamu yang menukar takbir kepada take beer ini, kamu hendak apa sebenarnya? Hendak menang sorak kemudian mendapat murka Allah?

Marilah kita sama-sama bertaqwa kembali kepada Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT itu keampunan-Nya amat luas.
Belum terlewat untuk kita tunduk memohon ampun atas keterlanjuran kita terhadap-Nya.

Politik juga adalah satu ibadah
Kita perlu faham bahawa, politik juga adalah satu ibadah. Politik adalah satu perkara mubah yang pada satu tahap boleh menjadi wajib. Maka, jika kita menjalankan politik dalam lingkungan yang dibenarkan syara’, dengan adab-adab yang dibenarkan syara’, ditambah pula dengan niat yang ikhlas, maka jadilah politik itu satu ibadah.

Maka jangan kita cemari ibadah ini dengan carut-carutan yang merosakkan ibadah kita. Jangan kita isi dengan perkara-perkara hodoh dan tidak bermoral seperti mengedit gambar pemimpin parti lawan menjadi gambar-gambar tidak elok.

Jangan sampai masuk mencaci maki agama.

Laksanakan politik dengan adab. Biar kamu wahai yang berkecimpung dalam medan politik, yang aktif dalam arena politik, yang katanya hendak membantu parti masing-masing, yang katanya berjuang dengan perjuangan masing-masing, mampu menjadi contoh kepada rakyat seperti saya.

Pesan saya, jangan sesekali kita bawa fitnah pada kumpulan kalian.

Jangan kerana kita, perjuangan kumpulan yang kita sertai itu rosak.

Tetaplah kalian pada ajaran Allah SWT.

Sesungguhnya yang benar hanyalah mereka yang mentaati-Nya.
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” Surah Ali Imran ayat 110.

Ini untuk yang terlibat sahaja. Yang tidak terlibat, jangan sesekali terasa
Saya harap, tiada sentimen assobiyah, perkauman, kepartian di sini. Saya hanya menegur yang terlibat, dan tidak pula menyentuh yang tidak terlibat. Tidak pula saya rendah-rendahkan mana-mana parti di Malaysia ini. Juga tidak saya sebut mana-mana nama untuk rujukan. Tidak pula saya dedahkan siapa pengucap carut-carutan dan siapa pula yang mengucap take beer ini.

Artikel ini umum, saya menulis, adalah atas rasa tanggungjawab betapa perlunya kalian yang katanya berjuang untuk parti-parti kalian, menjaga nama baik parti masing-masing dan menjaga kebersihan perjuangannya dengan membersihkan peribadi kalian. Pokok artikel saya adalah, syakhsiah kita memberikan impak yang besar kepada perjalanan parti kita. Saya juga berhajat memberikan kefahaman kepada yang menukar kalimah takbir kepada take beer, kerana ada kemungkinan mereka tidak megetahui letak taraf kalimah takbir itu.


Saya senang anda membaca artikel ini dengan rasional dan tenang.

Mudahnya, saya sebenarnya hendak mengajak kalian untuk membayangkan, apabila orang melihat sikap buruk kalian.

Orang akan berkata:
“Tak sangka ya, parti tu perangai dia macam itu”

Ya, kita boleh kata pada yang berkata itu begini: “Mana boleh nilai parti dengan hanya seorang sahaja”
Tetapi agaknya, berapa ramai yang berfikiran macam kalian fikir? Orang tiada masa. Kalianlah yang menjadi perhatian.

Sebab itu, kalau kalian perasan, Rasulullah SAW berpesan kepada ummat Islam untuk menjaga diri masing-masing. Hal ini kerana, orang-orang Islam adalah imej kepada Islam. Islam itu sempurna, tidak salah. Tetapi apabila ada orang Islam yang merosakkan imej itu, kesempurnaan Islam juga tercalar di mata manusia.

Begitulah kalian dengan parti kalian.

Kalian bertanggungjawab menjaga imej parti kalian.

Penutup: Pesan saya, kembalilah kepada Allah SWT
Ittaqullah, uusiikum wa nafsi bittaqwallah. Ayat ini sering kali diulang semasa khutbah jumaat di Malaysia. Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah, aku mewasiatkan diri kalian dan diriku dengan ketaqwaan kepada Allah”

Inilah pesan saya untuk diri saya dan kalian. Marilah sama-sama kita kembali kepada Allah SWT dalam segenap hal yang kita lakukan, hatta dalam arena politik. Jangan hanya kita canangkan Islam itu, Islam ini, tetapi tidak pula kita mempraktikkannya.

Jangan sesekali kita mempolitikkan agama. Sesunggunya politik itu sendiri perlu tertakhluk di bawah agama, peraturan Allah SWT. Barulah politik itu mampu kita jalankan dengan baik, adil dan saksama.

Mari sama-sama, kita reflek diri kita.

Masalah ummat Islam dari dulu sampai sekarang hanya satu.

Kesatuan.

Sampai bila agaknya perkara ini mesti berpanjangan?

Sedangkan yang untung dari perbalahan ini hanyalah musuh-musuh Allah yang mengintai-intai peluang kemenangan.

~Moga-moga penerimaan kalian-kalian baik2 belaka..jangan kerana entry ini,kamu-kamu mengatakan ana ni PENCACAI PArti!!ana sokong puak ni lah,ana sokong puak nu la!.ingatlah!..Allah tak tengok kita parti mana,tapi Allah menilai kita yang sebenar-sebenarnya menegakkan ISLAM..jangan kerana ini,Umat Islam berpecah belah..~


 ~* Dan yang menyentuh hati,
bukan tulisanku, tapi Rabbi.
dan yang menghubungkan rasa, bukan puisiku, tapi Ilahi.

tanpa izinNYA,
seribu kata pun tidak akan membawa makna,
dan tanpa redhaNYA,
sejuta bicara pun tidak akan membawa erti dan manfaat di SANA.

Aku bukan siapa-siapa,
jika tanpa Dia..:'(


Wallahua'lam.~





Tiada ulasan:

Catat Ulasan